Pages

Bilangan Pelawat

Sunday 1 April 2012

UMNO BAHAGIAN P.175 PAPAR GUGURKAN NAMA CALON PENYANDANG KERUSI PARLIMEN PAPAR DALAM PRU 13???

Spekulasi tersebar beberapa hari ini di DUN N.22 Pantai Manis kononnya penyandang kerusi Parlimen Papar, YB Datuk Rosnah Haji Abdul Rashid Shirlin akan digantikan oleh beberapa nama dalam PRU 13 kelak. Mereka yang disebut-sebut dan dikenalpasti tersenarai ialah Juil Nuatim, Naib Pengerusi UMNO Bahagian, Amir Mohd Ali, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Papar dan Pg Saifuddin Pg Tahir Petra, salah seorang AJK Bahagian UMNO Papar.

Menurut sumber yang boleh dipercayai menyebut, pengugguran nama Rosnah sebagai calon dalam PRU 13 ada kaitan dengan statusnya yang tiada memegang sebarang jawatan dalam AJK Bahagian serta hubungan Ketua Bahagian, Datuk Rahim Ismail yang tidak sehaluan dengan Ketua Perhubungan UMNO/Pengerusi BN Negeri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang juga Ketua Menteri Sabah.

Sementara itu, menurut beberapa pemerhati politik tempatan yang ditemui berpendapat langkah Datuk Rahim Ismail menggugurkan nama Rosnah adalah sebagai tindak balasnya terhadap kemungkinan besar Datuk Seri Musa tidak lagi mencalonkan beliau (Rahim) bertanding di kawasan Pantai Manis dalam PRU 13 kelak dan menggantikannya dengan muka baru.

Walau bagaimanapun, sebilangan besar penyokong BN di kawasan Parlimen Papar yakin bahawa Rosnah masih menjadi calon pilihan untuk meneruskan kepimpinan dan perkhidmatannya kepada rakyat di Papar berdasarkan track record serta perkhidmatan beliau yang cemerlang sejak menjadi wakil rakyat Papar selama dua penggal. Selaku Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dan Timbalan Menteri di peringkat Pusat, Rosnah wajar dikekalkan sebagai calon popular untuk mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, wakil tunggal wanita bertaraf Timbalan Menteri dari Sabah masakini atau dinaikkan ke jawatan Menteri penuh pada masa akan datang, tambah mereka.

Menurut mereka, walaupun Datuk Rahim sebagai Ketua Bahagian berhak memilih atau memutuskan mana-mana calon yang beliau fikirkan berpotensi dan boleh menang untuk dimajukan kepada YAB Perdana Menteri, namun sebagai Ketua Perhubungan UMNO dan Pengerusi BN Negeri Sabah, Datuk Seri Musa juga memiliki kuasa dan budi bicara dalam menyenarai pendek calon-calon untuk pertimbangan dan diputuskan oleh Datuk Seri Najib.