Pages

Bilangan Pelawat

Friday 2 November 2012

senario terkini dalaman UMNO Bahagian Papar

Walaupun senario politik di kawasan Parlimen P.175 Papar secara keseluruhannya nampak tenang, namun orang ramai terutama sekali sebilangan ahli-ahli politik UMNO/BN khususnya dan para pemerhati politik tempatan amnya melahirkan rasa terkilan dan kecewa dengan sikap/tindakan Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Hj Abdul Rahim Ismail apabila beliau tidak membenarkan Y.B.Datuk Rosnah Haji Abdul Rashid Shirlin, Ahli Parlimen P.175 Papar merangkap Timbalan Menteri Kesihatan dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mengadakan perjumpaan dengan Ketua-Ketua Cawangan UMNO, Pergerakan Pemuda dan Wanita serta Puteri dalam Daerah Mengundi Benoni yang dijadualkan berlangsung pada hujung minggu ini, (Ahad), 4 November 2012.

Larangan tersebut begitu mengejutkan kumpulan-kumpulan berkenaan seakan-akan mereka tidak percaya kerana Datuk Rosnah adalah wakil rakyat/Ahli Parlimen Kawasan P.175 Papar, seorang Timbalan Menteri di peringkat Pusat dan merangkap Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia masakini, walaupun beliau tidak memegang atau ditawarkan sebarang jawatan dalam barisan Jawatankuasa UMNO Bahagian Papar. Namun situasi ini sebenarnya menimbulkan persoalan besar baik di kalangan ahli-ahli UMNO sendiri mahupun ahli-ahli parti komponen BN di kawasan Papar.

Justeru, senario ini sedikit sebanyak telah menjejaskan hubungan baik/perpaduan di antara Datuk Rosnah sebagai Ahli Parlimen bertaraf Menteri dengan Datuk Rahim selaku Ketua Bahagian dan AJK UMNO Bahagian Papar. Walaupun, keadaan ini dianggap oleh sesetengah pihak sebagai pergolakan dalam keluarga ibarat "kocakan teh dalam cawan" namun sebenarnya ia menggambarkan wujudnya ketidaksepakatan di antara Datuk Rosnah yang juga wakil rakyat UMNO/BN yang sah dipilih oleh rakyat di Papar pada PRU11 (2004) dan PRU12 (2008) dengan Datuk Rahim selaku bosnya di Bahagian. Bos yang seolah-olah mendominasi pengurusan/pentadbiran Bahagian secara total tanpa memberi ruang dan peluang campur tangan "orang lain" "Datuk Rosnah" yang mungkin dianggap sebagai orang asing dalam parti yang sama-sama mereka dokong dan perjuangkan.

Sikap Datuk Rahim ini seringkali menimbulkan tanda tanya di kalangan ahli-ahli UMNO sendiri di peringkat akar umbi apakah punca sebenar menyebabkan renggangnya hubungan antara kedua pemimpin tersebut walaupun pada zahirnya seolah-olah tiada apa yang berlaku di antara keduanya. Justeru, timbullah berbagai-bagai pendapat serta andaian yang kurang sihat terhadap kepimpinan UMNO Bahagian Papar. Contoh yang paling jelas ialah terlalu sukar bagi Datuk Rosnah untuk mendapatkan maklumat semasa mengenai isu-isu parti /pembangunan dan sebagainya dari pejabat Bahagian.

Berbalik kepada isu Datuk Rahim menghalang perjumpaan Datuk Rosnah dengan kumpulan-kumpulan yang dinyatakan di atas atas, hanya beliau (Datuk Rahim) sahaja yang ada jawapannya. Difahamkan Datuk Rosnah akan meneruskan sesi perjumpaan itu seperti dijadualkan sekalipun tidak mendapat restu Datuk Rahim kerana difahamkan perjumpaan tersebut adalah atas permintaan kumpulan-kumpulan berkenaan. Sebagai pemimpin, Datuk Rosnah menyifatkan perjumpaan itu amat penting dan adalah menjadi tanggungjawab beliau menunaikannya tanpa gagal.

Dalam suasana menghadapi PRU13 yang semakin hampir ini, seharusnya tiada sebarang halangan dibuat oleh mana-mana pihak dalam parti UMNO terhadap perjumpaan tersebut kerana ia dilakukan oleh Datuk Rosnah demi kepentingan parti UMNO khususnya dan BN keseluruhannya. Lainlah ceritanya jika Datuk Rosnah berada di luar parti atau di pihak pembangkang.

Sebagai ahli biasa UMNO yang tidak memegang sebarang jawatan dalam parti, penulis tidak berniat untuk mencampuri hal ehwal dalaman parti UMNO Bahagian Papar jauh sekali untuk mengajar Ketua Bahagian apatah barisan AJKnya yang rata-ratanya matang dan bersikap profesional tetapi atas tanggungjawab sebagai ahli, saya rasa amat terpanggil dan tidak salah untuk sama-sama berkongsi menangani konflik yang sedang berlaku ini. Sebagai pemimpin veteran dan matang dalam arena politik negeri dan nasional, Datuk Rahim seharusnya bersikap lebih rasional dan bertanggungjawab dalam menangani sebarang isu dalaman parti yang boleh memecah belahkan perpaduan di kalangan ahli-ahli UMNO yang sudah mula bertindak membentuk kelompok masing-masing. Keadaan ini jika tidak dibendung segera amat berbahaya sekali kepada perpaduan di kalangan ahli-ahli parti. Faktor ini juga boleh mendorong ahli-ahli parti yang sudah kurang keyakinan terhadap UMNO melakukan sabotaj terhadap parti dan pada masa yang sama membuka ruang dan peluang kepada pihak lawan menangguk di air keruh untuk mempengaruhi para penyokong UMNO dengan pelbagai taktik licik mereka.

Kesimpulannya, ramai yang berpendapat bahawa sikap prejudis serta ketinggian ego seharusnya tidak wujud dalam diri pemimpin/kepimpinan UMNO Bahagian Papar jika benar-benar berhasrat ingin mengekalkan/mempertahankan kerusi Parlimen Papar (DUN Pantai Manis dan DUN Kawang) dalam PRU13 kelak. Dalam konteks ini, sebilangan besar penyokong parti UMNO yang masih tetap setia di peringkat pertengahan dan akar umbi parti, mendoakan agar Datuk Rahim selaku pemimpin yang berpengalaman, segera mengambil langkah-langkah positif bagi memulihkan hubungan harmoni antara beliau dan Datuk Rosnah. Sentiasalah mementingkan musyawarah dan toleransi bagi mewujudkan kestabilan politik yang mantap dalam UMNO Bahagian Papar selaras dengan  cogan kata UMNO " Bersatu - Bersetia - Berkhidmat ".

Hidup UMNO! Hidup BN!