Pages

Bilangan Pelawat

Friday 2 November 2012

senario terkini dalaman UMNO Bahagian Papar

Walaupun senario politik di kawasan Parlimen P.175 Papar secara keseluruhannya nampak tenang, namun orang ramai terutama sekali sebilangan ahli-ahli politik UMNO/BN khususnya dan para pemerhati politik tempatan amnya melahirkan rasa terkilan dan kecewa dengan sikap/tindakan Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Hj Abdul Rahim Ismail apabila beliau tidak membenarkan Y.B.Datuk Rosnah Haji Abdul Rashid Shirlin, Ahli Parlimen P.175 Papar merangkap Timbalan Menteri Kesihatan dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mengadakan perjumpaan dengan Ketua-Ketua Cawangan UMNO, Pergerakan Pemuda dan Wanita serta Puteri dalam Daerah Mengundi Benoni yang dijadualkan berlangsung pada hujung minggu ini, (Ahad), 4 November 2012.

Larangan tersebut begitu mengejutkan kumpulan-kumpulan berkenaan seakan-akan mereka tidak percaya kerana Datuk Rosnah adalah wakil rakyat/Ahli Parlimen Kawasan P.175 Papar, seorang Timbalan Menteri di peringkat Pusat dan merangkap Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia masakini, walaupun beliau tidak memegang atau ditawarkan sebarang jawatan dalam barisan Jawatankuasa UMNO Bahagian Papar. Namun situasi ini sebenarnya menimbulkan persoalan besar baik di kalangan ahli-ahli UMNO sendiri mahupun ahli-ahli parti komponen BN di kawasan Papar.

Justeru, senario ini sedikit sebanyak telah menjejaskan hubungan baik/perpaduan di antara Datuk Rosnah sebagai Ahli Parlimen bertaraf Menteri dengan Datuk Rahim selaku Ketua Bahagian dan AJK UMNO Bahagian Papar. Walaupun, keadaan ini dianggap oleh sesetengah pihak sebagai pergolakan dalam keluarga ibarat "kocakan teh dalam cawan" namun sebenarnya ia menggambarkan wujudnya ketidaksepakatan di antara Datuk Rosnah yang juga wakil rakyat UMNO/BN yang sah dipilih oleh rakyat di Papar pada PRU11 (2004) dan PRU12 (2008) dengan Datuk Rahim selaku bosnya di Bahagian. Bos yang seolah-olah mendominasi pengurusan/pentadbiran Bahagian secara total tanpa memberi ruang dan peluang campur tangan "orang lain" "Datuk Rosnah" yang mungkin dianggap sebagai orang asing dalam parti yang sama-sama mereka dokong dan perjuangkan.

Sikap Datuk Rahim ini seringkali menimbulkan tanda tanya di kalangan ahli-ahli UMNO sendiri di peringkat akar umbi apakah punca sebenar menyebabkan renggangnya hubungan antara kedua pemimpin tersebut walaupun pada zahirnya seolah-olah tiada apa yang berlaku di antara keduanya. Justeru, timbullah berbagai-bagai pendapat serta andaian yang kurang sihat terhadap kepimpinan UMNO Bahagian Papar. Contoh yang paling jelas ialah terlalu sukar bagi Datuk Rosnah untuk mendapatkan maklumat semasa mengenai isu-isu parti /pembangunan dan sebagainya dari pejabat Bahagian.

Berbalik kepada isu Datuk Rahim menghalang perjumpaan Datuk Rosnah dengan kumpulan-kumpulan yang dinyatakan di atas atas, hanya beliau (Datuk Rahim) sahaja yang ada jawapannya. Difahamkan Datuk Rosnah akan meneruskan sesi perjumpaan itu seperti dijadualkan sekalipun tidak mendapat restu Datuk Rahim kerana difahamkan perjumpaan tersebut adalah atas permintaan kumpulan-kumpulan berkenaan. Sebagai pemimpin, Datuk Rosnah menyifatkan perjumpaan itu amat penting dan adalah menjadi tanggungjawab beliau menunaikannya tanpa gagal.

Dalam suasana menghadapi PRU13 yang semakin hampir ini, seharusnya tiada sebarang halangan dibuat oleh mana-mana pihak dalam parti UMNO terhadap perjumpaan tersebut kerana ia dilakukan oleh Datuk Rosnah demi kepentingan parti UMNO khususnya dan BN keseluruhannya. Lainlah ceritanya jika Datuk Rosnah berada di luar parti atau di pihak pembangkang.

Sebagai ahli biasa UMNO yang tidak memegang sebarang jawatan dalam parti, penulis tidak berniat untuk mencampuri hal ehwal dalaman parti UMNO Bahagian Papar jauh sekali untuk mengajar Ketua Bahagian apatah barisan AJKnya yang rata-ratanya matang dan bersikap profesional tetapi atas tanggungjawab sebagai ahli, saya rasa amat terpanggil dan tidak salah untuk sama-sama berkongsi menangani konflik yang sedang berlaku ini. Sebagai pemimpin veteran dan matang dalam arena politik negeri dan nasional, Datuk Rahim seharusnya bersikap lebih rasional dan bertanggungjawab dalam menangani sebarang isu dalaman parti yang boleh memecah belahkan perpaduan di kalangan ahli-ahli UMNO yang sudah mula bertindak membentuk kelompok masing-masing. Keadaan ini jika tidak dibendung segera amat berbahaya sekali kepada perpaduan di kalangan ahli-ahli parti. Faktor ini juga boleh mendorong ahli-ahli parti yang sudah kurang keyakinan terhadap UMNO melakukan sabotaj terhadap parti dan pada masa yang sama membuka ruang dan peluang kepada pihak lawan menangguk di air keruh untuk mempengaruhi para penyokong UMNO dengan pelbagai taktik licik mereka.

Kesimpulannya, ramai yang berpendapat bahawa sikap prejudis serta ketinggian ego seharusnya tidak wujud dalam diri pemimpin/kepimpinan UMNO Bahagian Papar jika benar-benar berhasrat ingin mengekalkan/mempertahankan kerusi Parlimen Papar (DUN Pantai Manis dan DUN Kawang) dalam PRU13 kelak. Dalam konteks ini, sebilangan besar penyokong parti UMNO yang masih tetap setia di peringkat pertengahan dan akar umbi parti, mendoakan agar Datuk Rahim selaku pemimpin yang berpengalaman, segera mengambil langkah-langkah positif bagi memulihkan hubungan harmoni antara beliau dan Datuk Rosnah. Sentiasalah mementingkan musyawarah dan toleransi bagi mewujudkan kestabilan politik yang mantap dalam UMNO Bahagian Papar selaras dengan  cogan kata UMNO " Bersatu - Bersetia - Berkhidmat ".

Hidup UMNO! Hidup BN!






Wednesday 19 September 2012

kehidupan

Pulas dan pulas manusia menutup mata
Saat tidur menemaninya
Tak terasa waktu terus berputar
Pagi pun telah menghampiri kembali
Begitu banyak manusia tak tahu

Mengapa hari terus berganti
Pagi berganti siang, siang berganti malam
dan malam berganti pagi
Gundah, resah,senang

semuanya telah menemani manusia
Pagi ini, hari ini, telah dikalahkan oleh siang dan malam
Pagi ini, hari ini, mari tetap berkarya

Sunday 1 April 2012

UMNO BAHAGIAN P.175 PAPAR GUGURKAN NAMA CALON PENYANDANG KERUSI PARLIMEN PAPAR DALAM PRU 13???

Spekulasi tersebar beberapa hari ini di DUN N.22 Pantai Manis kononnya penyandang kerusi Parlimen Papar, YB Datuk Rosnah Haji Abdul Rashid Shirlin akan digantikan oleh beberapa nama dalam PRU 13 kelak. Mereka yang disebut-sebut dan dikenalpasti tersenarai ialah Juil Nuatim, Naib Pengerusi UMNO Bahagian, Amir Mohd Ali, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Papar dan Pg Saifuddin Pg Tahir Petra, salah seorang AJK Bahagian UMNO Papar.

Menurut sumber yang boleh dipercayai menyebut, pengugguran nama Rosnah sebagai calon dalam PRU 13 ada kaitan dengan statusnya yang tiada memegang sebarang jawatan dalam AJK Bahagian serta hubungan Ketua Bahagian, Datuk Rahim Ismail yang tidak sehaluan dengan Ketua Perhubungan UMNO/Pengerusi BN Negeri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang juga Ketua Menteri Sabah.

Sementara itu, menurut beberapa pemerhati politik tempatan yang ditemui berpendapat langkah Datuk Rahim Ismail menggugurkan nama Rosnah adalah sebagai tindak balasnya terhadap kemungkinan besar Datuk Seri Musa tidak lagi mencalonkan beliau (Rahim) bertanding di kawasan Pantai Manis dalam PRU 13 kelak dan menggantikannya dengan muka baru.

Walau bagaimanapun, sebilangan besar penyokong BN di kawasan Parlimen Papar yakin bahawa Rosnah masih menjadi calon pilihan untuk meneruskan kepimpinan dan perkhidmatannya kepada rakyat di Papar berdasarkan track record serta perkhidmatan beliau yang cemerlang sejak menjadi wakil rakyat Papar selama dua penggal. Selaku Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dan Timbalan Menteri di peringkat Pusat, Rosnah wajar dikekalkan sebagai calon popular untuk mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, wakil tunggal wanita bertaraf Timbalan Menteri dari Sabah masakini atau dinaikkan ke jawatan Menteri penuh pada masa akan datang, tambah mereka.

Menurut mereka, walaupun Datuk Rahim sebagai Ketua Bahagian berhak memilih atau memutuskan mana-mana calon yang beliau fikirkan berpotensi dan boleh menang untuk dimajukan kepada YAB Perdana Menteri, namun sebagai Ketua Perhubungan UMNO dan Pengerusi BN Negeri Sabah, Datuk Seri Musa juga memiliki kuasa dan budi bicara dalam menyenarai pendek calon-calon untuk pertimbangan dan diputuskan oleh Datuk Seri Najib.


Sunday 29 January 2012

Kesibukannya dengan tugas-tugas rasmi sebagai Timbalan Menteri dalam kabinet Persekutuan dan Ahli Parlimen tidak sama sekali menghalang beliau menghadiri acara-acara yang melibatkan aktiviti Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang diterajuinya dianjurkan dari semasa ke semasa di seluruh negara.

Orang yang dimaksudkan ialah Y.B. Datuk Rosnah Haji Abdul Rashid Shirlin, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia merangkap Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia dan Ahli Parlimen P.175 Papar.

Graduan dalam bidang perundangan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Y.B.Datuk Rosnah merupakan seorang pemimpin muda yang konsisten dan cekal dalam perjuangan, sentiasa bersedia menghadapi pelbagai cabaran dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sama ada dalam kerajaan dan parti UMNO yang didokongnya.

Sehubungan dengan itu, berdasarkan tinjauan penulis di beberapa perkampungan/Daerah Mengundi Parlimen Papar ketika mengikuti beberapa program turun padang Y.B.Datuk Rosnah mendapati sambutan rakyat pelbagai kaum amatlah menggalakkan dan memberangsangkan.Sikap prihatin dan mudah memahami sentuhan nadi rakyat yang diwakilinya, tidak keterlaluan dikatakan bahawa sebilangan besar ahli-ahli UMNO khasnya dan para penyokong parti-parti komponen BN yang lain amnya optimis dan yakin Y.B.Datuk Rosnah akan terus dikekalkan sebagai calon BN bagi penggal kedua di kawasan P.175 Papar dalam PRU13 akan datang.

Mereka turut mendoakan semoga Y.B.Datuk Rosnah akan terus dianugerahi rahmat dan nikmat kesihatan yang berpanjangan dari Allah SWT bagi membolehkannya terus menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat, agama dan negara.



Pada Ahad lalu, 29 Januari 2012 bertempat di Grand Borneo telah berlangsung majlis perasmian penutupan Kursus Penyelaras IT Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sabah. Y.B.Datuk Rosnah turut hadir dan berucap di majlis tersebut.

Kursus yang bertujuan untuk memantapkan lagi pengetahuan para Ketua/Ahli-Ahli Puteri UMNO Negeri Sabah dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) itu telah disempurnakan majlis perasmian penutupannya oleh Y.B.Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said Keruak, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Merangkap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah. Turut hadir di majlis tersebut ialah Ybhg Pn.Musliati Moslimin,Ketua Puteri UMNO Negeri Sabah.







Friday 27 January 2012

pantai manis, papar masakini

Pantai Manis terletak kira-kira enam kilometer dari Pekan Papar pernah satu ketika dulu menjadi tarikan dan tumpuan ramai pelancong tempatan dan luar daerah, kini tidak lagi seindah dan semanis namanya. Pesisir pantainya sudah menjadi mangsa hakisan ombak yang tidak henti-henti membadainya.

Keadaannya amat menyedihkan setiap mata memandang. Lantaran itu, pelbagai komen positif dan sebaliknya dilontarkan menerusi media massa seperti surat khabar dan media alternatif seperti facebook dan twitter. Komen-komen positif banyak yang inginkan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan-tindakan segera bagi menangani kerosakan yang berlaku akibat fenomena alam ini.



Menyedari hakikat ini serta keadaan Pantai Manis yang semakin teruk inilah wakil rakyat,Y.B.Datuk Rosnah Haji Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen P.175 Papar telah meluangkan masa mengadakan lawatan hampir dua jam ke sepanjang pesisir Pantai Manis pada 26 Januari 2012 yang baru lalu untuk meninjau dan melihat sendiri kerosakan yang berlaku.







                                            



Koleksi Gambar /Album Oleh: Sidek Kolo

Dalam lawatan tersebut Y.B.Datuk Rosnah juga meluangkan masa menemui para nelayan pantai yang baru balik dari laut dan melihat/mendengar sendiri permasalahan yang dialami akibat permukaan muara sungai terlalu cetek dan mengalami kesukaran membawa tangkapan harian balik ke jeti.

Atas keprihatianan beliau selaku Timbalan Menteri Persekutuan dan Ahli Parlimen Papar, Y.B.Datuk Rosnah akan berusaha membawa dan memanjangkan isu ini kepada pengetahuan Y.B.Dato' Haji Noh bin Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan jika keadaan mengizinkan beliau akan membawa menteri berkenaan untuk menyaksikan sendiri kerosakan yang berlaku dan sekali gus menangani isu tersebut pada kadar yang segera.


Sunday 22 January 2012

kepimpinan

 Baru-baru ini saya berkesempatan sembang-sembang santai dengan beberapa orang rakan belia di sebuah restoran di Pekan Papar. Sambil menikmati teh tarik dan goreng pisang panas salah seorang rakan memulakan bicara berkaitan isu-isu politik menjelang PRU13 dan kepimpinan masakini khususnya di kawasan Parlimen P.175 Papar dan di negeri Sabah umumnya.

Perbualan kami berkisar tentang isu-isu pembangunan hingga kepada isu siapa bakal calon yang berpotensi bagi menggantikan kepimpinan sedia ada yang diramal tidak lagi terpilih bertanding dalam PRU13 kelak.

Walaupun ramai di kalangan golongan muda yang disebut-sebut berminat ingin menampilkan diri bertanding, sekadar menyebut beberapa nama seperti : Datuk Mustamam Hj Ag Mahmun, Zulkhairi Ismail, Abd Ghafar Rashid, Pg Saifuddin Pg Tahir dan Tamin Zainal sama ada di DUN N.22 Pantai Manis atau Parlimen P.175 Papar untuk calon BN, namun ramai di kalangan pemerhati politik tempatan apabila diajukan nama-nama berkenaan belum dapat mempastikan kesahihannya. Menurut mereka, keputusan memilih calon yang berpotensi dan menepati hasrat dan syarat Pengerusi BN Pusat iaitu "winnable candidate" harus juga diambil kira oleh kepimpinan BN Negeri Sabah.

Saya sekadar ingin berkongsi dan melontarkan pandangan peribadi dengan rakan-rakan sembang mengenai penglibatan golongan muda dalam politik tanah air. Saya berpendapat keghairahan untuk menjadi pemimpin di kalangan gene­rasi muda hari ini mestilah diimbangi oleh ilmu kepimpinan khusus­nya memahami erti kepimpinan sebenar. Yang paling penting se­belum memimpin orang lain, mereka harus belajar me­mimpin diri sendiri dahulu. Dengan memahami definisi kepimpinan terutama yang berkaitan dengan elemen-elemen asasnya, se­orang bakal pemimpin akan tahu apakah persiapan yang perlu dibuat dari segi mental, spiritual dan fizikal untuk memikul tanggungjawab kepimpinan. Untuk mendapat ilmu kita perlu belajar dan untuk belajar kita mesti menjadi pengikut. Oleh itu, tidak salah kalau kita belajar menjadi pengikut yang baik terlebih dahulu sebelum menjadi pe­mimpin yang baik.


 
Saya teringat kepada kenyataan seorang rakan blogger yang mengatakan bahawa "Pemimpin bukanlah satu profesyen biasa yang boleh ditangani secara mudah. Tanpa persediaan yang cukup, akan lahir pemimpin-pemimpin “instant” yang tidak tahan godaan dan tidak mampu menangani cabaran terkini. Kualiti pe­mimpin tidak sama dengan makanan segera yang sifatnya cepat disiapkan, cepat pula dimakan. Pemimpin yang muncul men­dadak, cepat naik dan kemudian cepat pula jatuhnya, sama­lah seperti mi segera – “cepat dimasak, sedap di­makan…” Kemudian.. cepat pula dibuang!