Pantai Manis terletak kira-kira enam kilometer dari Pekan Papar pernah satu ketika dulu menjadi tarikan dan tumpuan ramai pelancong tempatan dan luar daerah, kini tidak lagi seindah dan semanis namanya. Pesisir pantainya sudah menjadi mangsa hakisan ombak yang tidak henti-henti membadainya.
Keadaannya amat menyedihkan setiap mata memandang. Lantaran itu, pelbagai komen positif dan sebaliknya dilontarkan menerusi media massa seperti surat khabar dan media alternatif seperti facebook dan twitter. Komen-komen positif banyak yang inginkan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan-tindakan segera bagi menangani kerosakan yang berlaku akibat fenomena alam ini.
Menyedari hakikat ini serta keadaan Pantai Manis yang semakin teruk inilah wakil rakyat,Y.B.Datuk Rosnah Haji Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen P.175 Papar telah meluangkan masa mengadakan lawatan hampir dua jam ke sepanjang pesisir Pantai Manis pada 26 Januari 2012 yang baru lalu untuk meninjau dan melihat sendiri kerosakan yang berlaku.
Koleksi Gambar /Album Oleh: Sidek Kolo |
Dalam lawatan tersebut Y.B.Datuk Rosnah juga meluangkan masa menemui para nelayan pantai yang baru balik dari laut dan melihat/mendengar sendiri permasalahan yang dialami akibat permukaan muara sungai terlalu cetek dan mengalami kesukaran membawa tangkapan harian balik ke jeti.
Atas keprihatianan beliau selaku Timbalan Menteri Persekutuan dan Ahli Parlimen Papar, Y.B.Datuk Rosnah akan berusaha membawa dan memanjangkan isu ini kepada pengetahuan Y.B.Dato' Haji Noh bin Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan jika keadaan mengizinkan beliau akan membawa menteri berkenaan untuk menyaksikan sendiri kerosakan yang berlaku dan sekali gus menangani isu tersebut pada kadar yang segera.
No comments:
Post a Comment